Ancher..anak buah kesayangan

Tuesday, April 28, 2009

Cerita Kaamatan..ARAIMAITIIII!!

KOTOBIAN TADAU TAGAZO DO KAAMATAN

Sedikit Cerita Ringkas berkenaan Kaamatan..
Pesta Kaamatan (Tadau Kaamatan) atau di dalam bahasa Kadazan “Magavau” merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati “Bambazon” iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi Kaum Kadazan-Dusun sejak zaman berzaman. Perayaan “Magavau” ini biasanya diadakan selepas selesai menuai padi. Pesta Kaamatan yang dirayakan dewasa ini telah diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Koloni sebagai cuti umum Sabah sejak tahun 1960 lagi, oleh Tun Haji Mohamad Fuad Stephens, Ketua Menteri Sabah yang pertama.

Antara sambutan menarik yang diadakan ialah persembahan dan pertandingan tarian Sumazau. Tarian ini ditarikan oleh kaum petani terdiri daripada lelaki dan perempuan dengan memakai pakaian tradisional mereka. Tarian ini dimainkan dengan iringan paluan gong. Tarian ini ditarikan dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan dikibar-kibarkan umpama kipasan sayap burung, mengikut alunan rentak yang dimainkan.

Selain daripada persembahan tarian Sumazau, diadakan juga pertandingan nyanyian dipanggil "Sugandoi", ratu cantik atau “Unduk Ngadau“, dan persembahan segala jenis kesenian dan kraftangan. Pertandingan seperti memukul gong dan sukan rakyat juga menjadi antara acara utama dalam perayaan ini.

Antara hidangan popular semasa perayaan ini ialah meminum tapai atau “Kinomol”, iaitu sejenis arak tradisional. Tapai merupakan minuman tradisi mereka, diperbuat sama ada daripada beras (nasi) atau ubi kayu. Nasi akan diperam di dalam sebuah tempayan besar atau “tajau” selama seminggu, atau ubi kayu diperam selama dua hingga tiga minggu. Biasanya tapai dicampur dengan ragi untuk mempercepatkan proses “memberi rasa” kepada tapai tersebut.

Mereka menggunakan sebatang buluh kecil yang dipanggil “Sumbiling” atau "USUK" untuk menyedut air tapai ini dari dalam tempayan besar. Biasanya sumbiling digunakan untuk meminum air tapai yang diperbuat daripada ubi kayu. Selain itu, mereka juga menggunakan gelas khas dinamakan “Singgarung” yang diperbuat daripada buluh.

Read more...

16HB MEI 2009 PESTA KAAMATAN WP. LABUAN

Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) cawangan Wilayah Persekutuan Labuan akan menganjurkan sambutan Pesta Kaamatan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan pada 16hb Mei 2009 bersamaan hari Sabtu, bertempat di Dewan SRJK Chi Wen, berdekatan bandar Labuan.
Acara yang akan bermula seawal jam 9 pagi itu dijangka akan dirasmikan oleh Presiden KDCA, Huguan Siou YB Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Datuk Kitingan. Turut dijangka hadir sama ialah Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal.
Dalam satu kenyataan KDCA Labuan, Setiausahanya, Gundohing Jerome Mijin berkata, sambutan Pesta Kaamatan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan adalah salah satu acara yang telah dimuatkan dalam kalendar tahunan perlancongan pulau bebas cukai itu.
“Sambutan pada kali ini adalah berbeza berbanding dengan sambutan Kaamatan pada tahun-tahun yang lepas di Labuan kerana pada tahun ini, Labuan turut merayakan sambutan Pesta Jubli Perak ke-25 tahun Labuan menjadi sebahagian daripada Wilayah Persekutuan, yang turut dikongsi bersama oleh Kuala Lumpur dan Putrajaya.” Kata Jerome.
Sebagai rekod, acara Pesta Kaamatan adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh KDCA cawangan Labuan sepertimana juga Pesta Kaamatan peringkat Negeri yang diadakan di dewan Hongkod Koisaan, Penampang pada 30-31hb Mei setiap tahun.
“Di Labuan, acara persembahan kebudayaan dari pelbagai suku kaum etnik Kadazandusun dan Murut juga menarik perhatian pelancong dari dalam mahupun luar negara. Acara kemuncak iaitu pertandingan Unduk Ngadau adalah acara penarik kepada semua golongan masyarakat yang hadir menyaksikan Pesta Kaamatan yang mana Labuan juga akan menghantar wakil ke peringkat negeri nanti. Selain itu, KDCA Labuan juga akan menghantar wakil mereka dalam pertandingan Sugandoi peringkat negeri nanti.” Tambah Jerome Mijin lagi yang juga Urusetia Pengelola.
Antara acara tradisi yang bakal berlangsung sepanjang sambutan Pesta Kaamatan peringkat Labuan pada 16hb Mei nanti ialah sukan tradisi yang akan diadakan seminggu sebelum hari sebenar sambutan Kaamatan Labuan, di mana berbagai acara yang akan dipertandingkan seperti menyumpit, mengupas kulit kelapa, melastik, rampanau dan banyak lagi. Manakala, pertandingan magagung (memukul gong) dan masakan tradisi juga akan diadakan semasa pesta Kaamatan berlangsung nanti.
Kehadiran artis Felix Don yang cukup diminati ramai, bersama dengan seorang lagi artis remaja popular iaitu Rufena Eusibius, yang baru-baru ini telah menjuarai pertandingan Lagu Popular Kadazan 2008 anjuran Sabah VFM unit Kadazan, dijangka dapat menarik kehadiran orang ramai terutama bagi mereka yang meminati kedua-dua artis tempatan popular itu. Turut menyatakan keinginan untuk datang ke sambutan Pesta Kaamatan Labuan pada kali ini ialah artis terkenal Jestie Alexius.
Orang ramai terutama mereka yang bermaustatin di Labuan sendiri dan juga tanah besar Sabah, Sarawak dan negara jiran Brunei Darussalam dijemput hadir beramai-ramai untuk turut serta memeriahkan sambutan Pesta Kaamatan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan pada 16hb Mei 2009 nanti.


Dikeluarkan Oleh: Gun. Ronney Ajim

Read more...



  ©Template by Dicas Blogger.