Ancher..anak buah kesayangan

Tuesday, April 28, 2009

16HB MEI 2009 PESTA KAAMATAN WP. LABUAN

Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) cawangan Wilayah Persekutuan Labuan akan menganjurkan sambutan Pesta Kaamatan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan pada 16hb Mei 2009 bersamaan hari Sabtu, bertempat di Dewan SRJK Chi Wen, berdekatan bandar Labuan.
Acara yang akan bermula seawal jam 9 pagi itu dijangka akan dirasmikan oleh Presiden KDCA, Huguan Siou YB Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Datuk Kitingan. Turut dijangka hadir sama ialah Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal.
Dalam satu kenyataan KDCA Labuan, Setiausahanya, Gundohing Jerome Mijin berkata, sambutan Pesta Kaamatan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan adalah salah satu acara yang telah dimuatkan dalam kalendar tahunan perlancongan pulau bebas cukai itu.
“Sambutan pada kali ini adalah berbeza berbanding dengan sambutan Kaamatan pada tahun-tahun yang lepas di Labuan kerana pada tahun ini, Labuan turut merayakan sambutan Pesta Jubli Perak ke-25 tahun Labuan menjadi sebahagian daripada Wilayah Persekutuan, yang turut dikongsi bersama oleh Kuala Lumpur dan Putrajaya.” Kata Jerome.
Sebagai rekod, acara Pesta Kaamatan adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh KDCA cawangan Labuan sepertimana juga Pesta Kaamatan peringkat Negeri yang diadakan di dewan Hongkod Koisaan, Penampang pada 30-31hb Mei setiap tahun.
“Di Labuan, acara persembahan kebudayaan dari pelbagai suku kaum etnik Kadazandusun dan Murut juga menarik perhatian pelancong dari dalam mahupun luar negara. Acara kemuncak iaitu pertandingan Unduk Ngadau adalah acara penarik kepada semua golongan masyarakat yang hadir menyaksikan Pesta Kaamatan yang mana Labuan juga akan menghantar wakil ke peringkat negeri nanti. Selain itu, KDCA Labuan juga akan menghantar wakil mereka dalam pertandingan Sugandoi peringkat negeri nanti.” Tambah Jerome Mijin lagi yang juga Urusetia Pengelola.
Antara acara tradisi yang bakal berlangsung sepanjang sambutan Pesta Kaamatan peringkat Labuan pada 16hb Mei nanti ialah sukan tradisi yang akan diadakan seminggu sebelum hari sebenar sambutan Kaamatan Labuan, di mana berbagai acara yang akan dipertandingkan seperti menyumpit, mengupas kulit kelapa, melastik, rampanau dan banyak lagi. Manakala, pertandingan magagung (memukul gong) dan masakan tradisi juga akan diadakan semasa pesta Kaamatan berlangsung nanti.
Kehadiran artis Felix Don yang cukup diminati ramai, bersama dengan seorang lagi artis remaja popular iaitu Rufena Eusibius, yang baru-baru ini telah menjuarai pertandingan Lagu Popular Kadazan 2008 anjuran Sabah VFM unit Kadazan, dijangka dapat menarik kehadiran orang ramai terutama bagi mereka yang meminati kedua-dua artis tempatan popular itu. Turut menyatakan keinginan untuk datang ke sambutan Pesta Kaamatan Labuan pada kali ini ialah artis terkenal Jestie Alexius.
Orang ramai terutama mereka yang bermaustatin di Labuan sendiri dan juga tanah besar Sabah, Sarawak dan negara jiran Brunei Darussalam dijemput hadir beramai-ramai untuk turut serta memeriahkan sambutan Pesta Kaamatan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan pada 16hb Mei 2009 nanti.


Dikeluarkan Oleh: Gun. Ronney Ajim

1 comments:

RoNN May 15, 2009 at 9:00 AM  

thank you my brother...

  ©Template by Dicas Blogger.